Selamat datang ke laman blog peribadi saya. Semoga anda mendapat manfaat daripada nukilan yang telah diluahkan.
| Regent Garden, London. |
Pembaca budiman, di sini saya akan memuatkan catatan kembara saya untuk dikongsikan. Catatan pertama adalah tentang pengalaman saya sewaktu bertugas di Beijing, China.
Kemesraan Bertaut di Sebalik Kegahan Tembok Besar
Apabila
memperkatakan tenang negara China, maka terbayang kepada kita akan Tembok
Besar, kota yang dibina kira-kira 2,500 tahun yang lampau dengan panjangnya
melebihi 6,000 km. Tembok Besar juga
merupakan satu daripada dua binaan manusia yang dapat dilihat oleh angkasawan
dari bulan. Pepatah China ada mengatakan
“seseorang itu belum dianggap perkasa, jika belum mendaki Tembok Besar”. Jadi,
sekiranya kita berpeluang ke negara China khususnya kota raya Beijing, maka,
tidak lengkap sekiranya kita tidak mengunjungi Tembok Besar. Justeru, Tembok
Besar akan mempertemukan kita dengan pelbagai bangsa di dunia disebabkan
kemasyhurannya. Di mana-mana tempat atau pelosok di sini, akan dipenuhi oleh orang ramai dan di celah-celah orang ramai itu, terselit juga orang Malaysia!
“Apa khabar?” Saya terdengar ada orang menyapa, lantas saya
membalas sapaan orang itu. “Khabar baik”. Dengan penuh kehairanan saya bertanya semula
kepada individu yang menyapa saya
sebentar tadi. “Encik ini orang Malaysia
ya?” Wajahnya yang sama seperti
wajah kebanyakan penduduk China menyebabkan saya ragu-ragu akan
kewarganegaraannya. Selain itu, bukan suatu yang ganjil di Beijing ini untuk
mendengar orang China yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, malah lebih
fasih daripada segelintir orang Cina Malaysia kerana di sini terdapat beberapa
institusi pengajian tinggi yang menawarkan jurusan pengajian Melayu.
Orang yang menegur itu menjawab sapaan saya. “Ya, saya orang Kuala Lumpur.” Saya bertanya kembali. “Tinggal di
Beijing?” “Tidak, saya kerja di Shanghai, datang ke Beijing membawa keluarga
dan seorang rakan untuk makan
angin.” “Rindulah…, sudah lama tidak
bercakap dalam bahasa Malaysia, apabila saya lihat kakak, saya yakin tentu ini
orang Malaysia. Itu sebabnya saya berani tegur kakak tadi.”
Begitulah mesranya tutur kata Encik Tan, orang Malaysia keturunan Cina yang
saya temui di stesen kereta api bawah tanah Changchunjie, Beijing.
Ini merupakan situasi biasa yang saya alami semenjak bertugas di Beijing
hampir setahun yang lalu. Sesungguhnya
suatu realiti, apabila kita berada jauh di perantauan, sedikit sebanyak
kerinduan terhadap tanah air dan masyarakat kita yang berbilang bangsa tidak
pernah terpadam. Maka, disebabkan itu
apabila bertemu dengan orang Malaysia, kita akan menjadi lebih peramah dan
terasa keakrabannya walaupun kita tidak pernah bersua dengan individu tersebut
di Malaysia. Dengan kata lain, jati diri dan patriotisme kemalaysiaan yang
tertanam dalam diri kita tidak pernah luntur .