Monday, 9 July 2012

EKSPRESI PENGALAMANKU

Selamat datang ke laman blog peribadi saya. Semoga anda mendapat manfaat daripada nukilan yang telah diluahkan.
Regent Garden, London.
Pembaca budiman, di sini saya akan memuatkan catatan kembara saya untuk dikongsikan. Catatan pertama adalah tentang pengalaman saya sewaktu bertugas di Beijing, China.

Kemesraan Bertaut di Sebalik Kegahan Tembok Besar

Apabila memperkatakan tenang negara China, maka terbayang kepada kita akan Tembok Besar, kota yang dibina kira-kira 2,500 tahun yang lampau dengan panjangnya melebihi 6,000 km.  Tembok Besar juga merupakan satu daripada dua binaan manusia yang dapat dilihat oleh angkasawan dari bulan.  Pepatah China ada mengatakan “seseorang itu belum dianggap perkasa, jika belum mendaki Tembok Besar”. Jadi, sekiranya kita berpeluang ke negara China khususnya kota raya Beijing, maka, tidak lengkap sekiranya kita tidak mengunjungi Tembok Besar. Justeru, Tembok Besar akan mempertemukan kita dengan pelbagai bangsa di dunia disebabkan kemasyhurannya. Di mana-mana tempat atau pelosok di sini, akan dipenuhi oleh orang ramai dan di celah-celah orang ramai itu, terselit juga orang Malaysia!

“Apa khabar?” Saya terdengar ada orang menyapa, lantas saya membalas sapaan orang itu. “Khabar baik”.  Dengan penuh kehairanan saya bertanya semula kepada  individu yang menyapa saya sebentar tadi.  “Encik ini orang Malaysia ya?”  Wajahnya yang sama seperti wajah kebanyakan penduduk China menyebabkan saya ragu-ragu akan kewarganegaraannya. Selain itu, bukan suatu yang ganjil di Beijing ini untuk mendengar orang China yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, malah lebih fasih daripada segelintir orang Cina Malaysia kerana di sini terdapat beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan jurusan pengajian Melayu.

Orang yang menegur itu menjawab sapaan saya.   “Ya, saya orang Kuala Lumpur.” Saya bertanya kembali. “Tinggal di Beijing?” “Tidak, saya kerja di Shanghai, datang ke Beijing membawa keluarga dan seorang rakan untuk  makan angin.”  “Rindulah…, sudah lama tidak bercakap dalam bahasa Malaysia, apabila saya lihat kakak, saya yakin tentu ini orang Malaysia. Itu sebabnya saya berani tegur kakak tadi.” Begitulah mesranya tutur kata Encik Tan, orang Malaysia keturunan Cina yang saya temui di stesen kereta api bawah tanah Changchunjie, Beijing. 

Ini merupakan situasi biasa yang saya alami semenjak bertugas di Beijing hampir setahun yang lalu.  Sesungguhnya suatu realiti, apabila kita berada jauh di perantauan, sedikit sebanyak kerinduan terhadap tanah air dan masyarakat kita yang berbilang bangsa tidak pernah terpadam.  Maka, disebabkan itu apabila bertemu dengan orang Malaysia, kita akan menjadi lebih peramah dan terasa keakrabannya walaupun kita tidak pernah bersua dengan individu tersebut di Malaysia. Dengan kata lain, jati diri dan patriotisme kemalaysiaan yang tertanam dalam diri kita tidak pernah luntur .

No comments:

Post a Comment